Pemimpin Warisan umpama "Lembu punya susu, Sapi dapat nama" : Ketua Pemuda PBS
- Admin
- Aug 16, 2020
- 2 min read

KOTA KINABALU, 16 Ogos 2020:
Kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan digesa berhenti menyalahguna Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu Barisan Nasional untuk kepentingan mereka sendiri.
"Program ini terbukti berhasil dan bermanfaat kepada orang asal (Pribumi) Sabah, dan tidak hairanlah mengapa pemimpin Warisan mempergunakan sepenuhnya program PANTAS dan kejayaan BN untuk memancing sokongan dan undi rakyat," kata Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah, Christoper Mandut.
Tambahnya, Warisan pernah mengkritik pemberian geran komunal sehingga menmbulkan kemarahan penduduk tempatan, terutama sekali dari Kota Marudu, Labuk dan Nabawan.
“Mereka (Warisan) telah menangguhkan pemberian sekurang-kurangnya lima geran komunal di Kota Marudu walaupun telah diluluskan. Kerajaan Warisan tidak mahu menyokong pemberian geran komunal dan penduduk asal mendakwa bahawa Warisan tidak ingin mengeluarkan geran komunal kerana mereka ingin membuka permohonan kepada orang asing di Pantai Timur," tambahnya.
Program PANTAS dan pemberian geran komunal adalah bertujuan untuk memberikan hak milik tanah kepada penduduk asal yang telah menduduki dan mengusahakan tanah selama beberapa generasi, dan ia terbukti sebagai kaedah yang paling berkesan.
Bekas pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Safar Untong dilaporkan mengatakan bahawa program yang diperkenalkan pada tahun 2012 oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu telah dilaksanakan di 21 daerah yang melibatkan 141 kampung, meliputi sekitar 36.048.344 hektar dari 20.948 lot tanah tahun lalu.
Mandut, yang juga Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata program itu, dengan peruntukan sekitar RM20 juta setiap tahun untuk Sabah, adalah inisiatif Kerajaan persekutuan BN yang terdahulu atas permintaan pemimpin Sabah dan Sarawak, di bawah Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak, yang dipengerusikan bersama oleh Ongkili dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Joseph Entulu, melalui Jawatankuasa Penyelarasan Program Kajian Tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR)
"Kini, pemimpin Warisan hanya mengambil penghargaan atas usaha yang dimulakan oleh Barisan Nasional. Bak kata pepatah Melayu 'lembu punya susu, sapi dapat nama'," katanya.
Oleh itu, Mandut menggesa para pemimpin Warisan menghentikan tuntutan mereka bahawa program PANTAS adalah inisiatif pemerintah Warisan.
"Sebenarnya, ketua menteri sementara harus berhenti menggunakan pemberian hak milik tanah adat untuk mendapatkan sokongan rakyat, apa lagi kini mereka menyedari populariti dan sokongan Warisan dari rakyat terus berkurangan," katanya.
Tamat.
Yorumlar